Tuesday 11 June 2013

Apakah Sebenarnya Ilmu Tasawwuf

Bismillah Alhamdulillah

Apakah itu Tasawuf ? Di jelaskan secara ringkas nya sahaja :

Secara dasarnya ilmu tasawwuf adalah salah satu ilmu penting di dalam Islam yang membincangkan tentang kebersihan hati di samping pembentukan akhlak dan budi pekerti. Aspek-aspek ini memang amat ditekankan oleh Islam berdasarkan Al-Quran dan hadis-hadis, sebagai contoh, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berkaitan dengan jawapan Nabi keatas beberapa persoalan yang dihadapkan oleh malaikat Jibrail kepada Baginda. Salah satu di antara persoalan itu ialah yang berkaitan dengan Ihsan. Nabi telah menjawab :

“( Ihsan ialah )  kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika tidak mampu, maka sesungguhnya  Dia sentiasa melihatmu.”

Di dalam riwayat yang lain, Nabi telah menegaskan :

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh jasadmu dan rupa parasmu tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu.” ( Muslim )

Berasaskan nas-nas yang seperti ini maka lahirlah ilmu tasawwuf yang menekankan tentang cara untuk membersihkan jiwa dan melawan hawa nafsu yang merupakan salah satu ilmu fardu ain yang wajib dipelajari oleh setiap mukallaf. ( Ihya Ulumuddin 1981 - Pustaka Nasional - Jil: 1 hal :  98-99 )

Bidang tasawwuf memang ada sejarah dan perkembangannya yang tersendiri. Ibn Khaldun telah berkata:

“Asal usul kepada ajaran tasawwuf ialah tekun melaksanakan ibadah, berhubungan secara langsung kepada Allah, menjauhkan diri dari kemewahan dan perhiasan duniawi ( yang melalaikan ), tidak suka kepada kelazatan dan kemegahan yang menjadi rebutan orang ramai dan suka bersunyi-sunyian melakukan ibadah kepada Tuhan. Semua ini telah di hayati dan dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Nabi dan ulama salaf. Namun pada abad kedua Hijrah, ketika mana masyarakat Islam menjadi begitu ghairah untuk mengejar kesenangan dan kelazatan duniawi, ( lahirlah satu golongan yang tekun melakukan ibadah seperti yang telah diajarkan Nabi ) dan akhirnya mereka ini telah digelar dengan gelaran ahli sufi atau ahli tasawwuf.” 
( Zuhrul Islam - jil : 4 hal  ; 151 ) 

Membersihkan Hati Dituntut Oleh Agama

Justeru itu ilmu tasawwuf memang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang penting, selama mana ianya berjalan di atas landasan Al-Quran dan As-sunnah. Sebaliknya andaikata ia bercampur-baur dengan perkara-perkara khurafat, bid’ah dan amalan-amalan syirik, ia adalah sesat lagi batil, seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Junaid al-Baghdadi:

“Jalan-jalan tasawwuf adalah tertutup rapat melainkan jika ianya berpandukan ajaran Rasulullah.” ( Risalah Qusyariyah; hal. 19 ) 

Wassalam

 BAGI YANG BERUSIA 60 TAHUN KE ATAS HARAP MENYIMPAN ARTIKEL  SEBUAH Universiti di Amerika Syarikat (AS) membuat kajian lebih daripada 31% or...