Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia. 
Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. 
Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan dibentangkan. Kerana zuhud mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah.
Kalau demikianlah pengertian zuhud itu, tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan dunia dengan banyaknya. Namun demikian, dunia yang banyak itu, yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya. 
Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya. Dia memiliki dunia serta mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat. Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)
Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat Syurga di Akhirat. 
Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang ber-ganda-ganda tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.
Persoalannya sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini? Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya ia berada di hadapan kita?
Add caption

Add caption




Untuk dapat mengekalkan zuhud mesti dilakukan beberapa cara. 
Di antaranya :
1. Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya. Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.
2. Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas. Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.
3. Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin, tidak dibenarkan kita bermewah-mewah. Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.
Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau pemimpin atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Wallahu'alam.