Friday 7 June 2013

Bagaimana Untuk Mencapai ROH Ukhwah Itu? Jom baca sampai abis yer ...

Bismillah Alhamdulillah

Bagaimana cara untuk kita mencapai roh ukhwah?

1.  Memberitahu kepada saudara yang dicinta - Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang
mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahu kepadanya”. ( H R Abu Daud dan Tirmizi )

2.  Berdoa untuk mereka  - Menurut riwayat Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak seorang
hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan kemungkaran melainkan malaikat berkata, dan
bagimu juga seperti itu”.

3.  Berjabat tangan bila bertemu - Rasulullah s.a.w menyarankan pada umatnya bila bertemu dengan
saudara-saudara agar cepat-cepatlah berjabat tangan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Abu Daud
dari Barra : “Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya
diampuni dosanya sebelum berpisah”.

4.  Memberi senyuman ketika bertemu - Hadis riwayat dari Abu Dzhar r.a bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Janganlah engkau remehkan kebaikan apa sahaja yang datang dari saudaramu dan jika
engkau berjumpa saudaramu maka berikan dia senyuman kegembiraan”. ( H R Muslim )

5.  Mengunjungi saudara - Dalam kitabnya Al-muwathtaa Imam Malik meriwayatkan bersabda Nabi
Muhammad s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman : “Pasti akan dapat cintaku orang-orang yang mencintai
kerana Aku, dimana keduanya saling berkunjung kerana Aku dan saling memberi kerana Aku”.

6.  Menyampaikan ucapan selamat - Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: “Barangsiapa mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat
kebahagiaan nescaya Allah s.w.t mengembirakannya pada hari kiamat”. (H R Tabrani)

7.  Memberi hadiah - Imam Dailami meriwayatkan dari Anas dengan marfu’ bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda: 

“Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat mewariskan rasa cinta dan
menghilangkan kekotoran hati”.

8.  Memperhatikan keperluan sahabat - Riwayat oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    “Siapa yang meringankan beban penderitaaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan
     beban penderitaannya di akhirat kelak. Siapa yang memudahkan orang dalam kesusahan pasti Allah
     s.w.t akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.

    Siapa yang menutupi aib seorang muslim  pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah s.w.t akan selalu menolong
    hambaNya jika hamba tersebut menolong saudaranya ( H R Muslim )

9.  Tegakkan hak-hak persaudaraan -  Wajib bagi kita menunaikan hak-hak yang dimiliki saudara lain, seperti menziarahi saudara yang sakit, mendoakannya ketika bersin dan menolong bagi yang dizalimi.  Perkara tersebut adalah penting untuk menunjukkan rasa cinta kasih kita pada sahabat kita sekaligus untuk mempereratkan ukhwah bila kita laksanakannya betul-betul kerana Allah s.w.t.

Marilah kita renungi sejenak firmanNya :

“ Dan yang mempersatukan hati mereka ( orang yang beriman ). Walaupun kau membelanjakan semua ( kekayaan ) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ” - ( al-anfal : 63 )

Kita dapat merasai kekuatan ukhwah itu kerana ikatan akidah Islam itu adalah sekuat-kuat ikatan. Dari sinilah terbitnya ukhwah fillah ( persaudaraan kerana Allah ) . Keindahan dalam kita berukhwah akan terserlah apabila iman yang kuat tersemat didlm hati.

Menyingkap kembali ukhwah yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w di dalam jiwa para sahabat, maka di sana terpancarlah betapa mulianya hati-hati yang mampu menghayati erti ukhwah kerana Allah.

Bukan harta sahaja yang mereka serahkan bahkan nyawa pun sanggup dijadikan cagaran. Tapi hakikatnya kita pada hari ini adalah jauh berbeza daripada persaudaraan yang diamalkan oleh generasi terdahulu. 

Jangankan berkorban untuk sahabat, bahkan peringkat persaudaraan yang paling rendah sekalipun kita tidak mampu laksanaknanya. Persaudaraan yang sejati adalah bermula daripada keikhlasan dan kasih sayang yang benar dan semata-mata kerana Allah. Kesilapan yang lalu jadikan sebagai ikhtibar dan mohonlah padaNya, moga persaudaraan yang kita jalinkan ini akan diredhaiNya.

Berbuat baiklah terhadap orang lain sebagaimana kamu suka diperlakukan. Sekiranya kamu menghormati orang lain,orang lain juga akan menghormati kamu. Sedarilah sahabat-sahabat bahawa tiada siapa yang sempurna, setiap orang mempunyai kecacatan dalam tiap pelakuannya dan menerima kecacatan antara satu sama lain adalah kunci persahabatan yang terbaik.

Berkata ulama: “Janganlah kamu berkawan melainkan dua orang dari tiga orang iaitu orang yang engkau pelajari daripadanya sesuatu tentang urusan agamamu maka orang itu pun memanfaatkan ilmunya kepadamu”

Allah juga telah berfirman: “sesungguhnya di antara kamu itu bersaudara,maka damaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah itu.Jadi peliharalah hubungan persahabatan itu”.

Salah satu golongan yang dilindungi di bawah Arasy Allah s.w.t di akhirat kelak adalah pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah, iaitu persahabatan yang diredhai Allah yang berdasarkan ketaqwaaan kepada Allah. Persahabatan adalah anugerah Allah yang terindah jika ianya berlandaskan atas dasar yang benar.

Sahabat adalah seperti cermin kepada kita, kesalahan kita diteguri, bila alpa diingatkannya, bila berduka dihiburkannya, bila sempit dilapangkannya, kata-kata nasihat yang selalu keluar dari mulutnya menambahkan semangat,  menjadikan kita kuat dengan cinta,  kasih sayang dan persahabatannya darinya.

Dia juga menjadi sumber inspirasi untuk kita terus berdakwah.

Hayatilah persahabatan kerana Allah swt kerana kita akan bertemunya di syurga dan inilah tanda kita betul-betul beriman biar diuji seberat mana kita tetap sayang pada sahabat kita inilah dinamakan UKHWAH FILLAH, moga hubungan yang terjalin sekarang akan terus berkekalan hingga ke akhirnya.

Mudah2an perkongsian ilmu ini mendapat keberkatan Allah swt jua hendaknya. Wassalam 



No comments:

Post a Comment

 BAGI YANG BERUSIA 60 TAHUN KE ATAS HARAP MENYIMPAN ARTIKEL  SEBUAH Universiti di Amerika Syarikat (AS) membuat kajian lebih daripada 31% or...